Sunday 22 October 2023

Part 1 Berakhirnya Syurga Dunia

 BAHAGIAN 1 - MUSIBAH


Apabila seseorang ditimpa musibah atau masalah, kebiasaannya mereka ditenangkan dengan pepatah seperti "Tuhan takkan menguji orang yang tak mampu hadapinya" atau.. "Tuhan uji tandanya sayang". 

13 Ogos 2022 Sabtu, aku dan El dikejutkan dengan berita isteri Hasrul telah didiagnosis dengan kanser payudara. 

Aku dapat rasakan ada sesuatu yang tak kena apabila Hasrul tiba-tiba muncul di rumah kami dengan wajah yang murung pada hari minggu tersebut. Hanya aku yang menyambutnya di pagar ketika dia menyerahkan sekotak donut Krispy Kreme untuk anak-anak aku. Tiada bau semerbak perfume seperti kebiasaan dan misainya juga seperti telah berhari-hari tidak dicukur. Jelas dirinya tidak terurus. 

Selepas dipelawa, Hasrul terus masuk dan duduk di sofa ruang tamu kami. 

"Bro, aku nak bagitau something.. Siti kena breast cancer", kata Hasrul sebaik sahaja aku pun mula duduk di sofa berhadapan dengannya. 

Aku tercengang. Seperti tak percaya dengan apa yang aku dengar. Tiada perkataan yang keluar dari mulut aku. Terasa janggal apabila aku tak dapat berkata apa-apa. 

"Kejap.. kejap", aku bangun dan meluru ke tingkat atas. Aku perlukan El untuk menemani aku. Aku tak tahu bagaimana untuk react dengan situasi seperti itu. 

El mengerutkan dahi apabila aku menyampaikan berita itu. "Siti ada kat bawah ke?", tanya El sambil menyambar tudung dan memakainya. "Tak, Hasrul datang sorang", jawab aku ringkas. 

Aku kembali duduk di sofa dan El duduk di sebelah aku. Hasrul mula bercerita diselang seli dengan soalan dari El. Aku juga sudah boleh mencelah di dalam perbualan tersebut. 

Setelah mendengar cerita dan luahan Hasrul, barulah kami dapat selami apa yang dirisaukannya. Walaupun kanser payudara Siti adalah di tahap-2, doktor telah mencadangkan supaya payudaranya yang sebelah kiri tersebut untuk dibuang sepenuhnya. 

Rupa-rupanya ada dua orang ahli terdekat di dalam keluarga siti yang telah mengidap kanser payudara membuatkan doktor berpendapat  risiko sangat tinggi untuk penyakit ini datang semula sekiranya ia tidak dibedah keluar. Kesannya akan lebih teruk sekiranya kanser tersebut menyerang semula dan merebak ke tempat lain. 

Aku dan El tahu, sebagai kawan kami perlu tunjukkan sokongan moral yang tidak berbelah bagi. Tambahan pula Hasrul dan keluarganya telahpun menjadi sebahagian dari keluarga kami. Tetapi kami tidak mempunyai sebarang pengalaman ahli keluarga atau rakan terdekat mengidap penyakit yang sama. Kami rasa terkilan kerana tak dapat kurangkan beban yang dihadapi Hasrul. 

Yang membuatkan kami turut risau adalah kerana kami juga telah lama tidak buat pemeriksaan payudara dengan pakar. 

Sepanjang hari kami tak dapat 'move-on' dengan berita yang mengejutkan tersebut. Kami tidak sangka seseorang yang begitu hampir dengan kami diserang cancer sedangkan Siti tidak pernah mengidap sebarang masalah kesihatan.

Terbukti sesiapa sahaja boleh diserang cancer. hanya nasib yang membezakan antara individu. Walaupun berjumpa pakar adalah sesuatu yang menakutkan, El bersetuju untuk buat test payudara pada hari Isnin berikutnya.


No comments:

Post a Comment